Friday, October 24, 2008

Hormatilah kuliah ilmu

Al-Thabrani meriwayatkan daripada Abi Hazim daripada Sahal r.a., berkata bahawa beliau telah menyampaikan kuliah tentang Nabi S.a.w. kepada kaumnya. Terdapat dikalangan mereka yang hadir bersembang dan tidak memberikan perhatiannya.

Beliau merasa marah dengan sikap buruk yang ditunjukkan itu, lalu bangun meninggalkan para jemaah. Beliau berkata: "Lihat golongan ini, aku sedang mengajar mereka apa yang aku pelajari daripada Nabi S.a.w., tiba-tiba mereka sibuk menceritakan perkara lain. Lebih baik bagiku untuk keluar dari tempat ini dan aku tak akan kembali lagi"

Abu Hazim lantas bertanya kepadanya:" ke manakah tuan akan pergi membawa diri?" jawabnya: aku akan pergi berjihad di jalan Allah. Beliau seterusnya ditanya: Bagaimana tuan boleh turut serta sedangkan tuan merupakan orang tua yang uzur dan dikecualikan daripada berjihad? Jawabnya: Wahai Abu Hazim! aku akan menyertai peperangan di barisan hadapan supaya terkena anak panah atau senjata yang tersasar, lalu aku akan mati syahid.

Pengajaran

1. Menghadirkan diri dalam majlis ilmu adalah sangat penting kerana ia merupakan makanan buat hati dan menerusi ilmu dapat menunjukkan kepada kita perkara yang halal dan haram.

2. Berilah penumpuan terhadap ilmu yang disampaikan agar difahami dan dapat diamalkan.

3.Proses belajar hanya dapat berlaku jika memberikan perhatian.

4. Para sahabat merupakan golongan yang mencintai
Nabi s.a.w. dan mereka amat sensitif terhadap golongan yang tidak menunjukkan minat terhadap hadis-hadis Nabi s.a.w.

5. Menuntut ilmu merupakan ibadah yang tinggi nilai dan ganjarannya.

6. Ganjaran yang disediakan buat mereka yang mati sahid terlalu mulia sehingga menyebabkan Sahal r.a. berusaha sedaya upaya memperolehinya walaupun beliau seorang yang tidak layak menyertainya.